Senin, 05 November 2007

Fwd: Fw: Help Palestine [hidayahnet] Bipolar Disorder: Bersangka Baik Secara Pelik

"Akak dah tak tahu nak buat macam mana ustaz. Memang rasanya kami नdah di ambang penceraian", keluh seorang isteri, yang bersuamikansahabat saya.

"Apa lagi yang dibuatnya kebelakangan ini?", saya mahu dapatkan lebih
banyak maklumat..
"Entah kenapa siang malam pagi petang asyik bersyarah pasal agama
sahaja. Rasa macam semua yang akak buat ni tak betul. Segala-gala
diungkitnya. Dari cara akak berwudhu' dan solat, sampailah kepada
hal-hal yang akak sendiri tak faham. Pulak tu, bukan boleh ditegur,
mesti dia melenting", cerita akak itu semasa mengunjungi kami
sekeluarga.
Saya terdiam. Sahabat yang saya kenali ini semacam sedang melalui
suatu episod yang tersusun mengikut buku teks. Melengkapi segala
simptom masalah Bipolar Disorder.
Saya cuba sabarkan isteri yang malang itu.
"Akak, izinkan saya memberi pandangan. Saya bukan doktor. Cuma
menumpang sikit-sikit ilmu dari isteri dan pembacaan. Apa yang suami
akak buat tu, saya dah jumpa beberapa kali sebelum ini. Saya rasa,
suami akak sedang menempuh episod Bipolar Mania", saya cuba berkongsi
cerita.
"Kenapa Rizal cakap begitu?", tanyanya kehairanan.
"Minggu lepas suami akak berbual dengan saya. Jiwanya sungguh tidak
tenteram. Putus asa belaka dengan semua benda yang dirancangnya dalam
hidup ini. Rasa berdosa, rasa bersalah, asyik menangis, malah katanya
jin tak habis-habis datang memukul tangannya", saya memberitahu.
"Akak tahu cerita itu. Tapi minggu ni dia jadi pelik pulak. Sungguh
berlawanan. Over confident, pandai semacam. Tapi kadang-kadang cakap
kotor sampai malu akak mendengarnya. Sampai akak dengan anak-anak dah
tak tahan. Kadang-kadang naik juga tangan dia kepada kami", sambungnya
lagi.
Saya yakin, sahabat saya yang juga suami akak ini, mengalami masalah
kemurungan yang teruk. Segala simptom ada padanya. Saya sudah berdepan
dengan kes yang sama sebelum ini, dan mereka ini semuanya memiliki
corak yang sama.

PENGALAMAN SILAM
Lama sebelum itu, seorang pelajar datang ke rumah saya. Beliau mahu
mencadangkan kepada saya plan latihan ketenteraan yang beliau rangka.
Saya hanya mampu mengangguk. Selama 6 jam beliau bersyarah di hadapan
saya. Dari isu plan ketenteraan tersebut, sampailah kepada perancangan
Yahudi di sebalik animasi Pokemon dan kesukaannya terhadap Doraemon.
Bercakap tidak berhenti-henti, penuh semangat, tetapi tiba-tiba
menangis seketika sebelum menyambung kembali syarahannya kepada saya.
Secara jujurnya, tepat jam 4 pagi, saya sudah menjadi demam akibat
'torture' syarahan pelajar ini.
Semasa itu, saya hanya terfikir satu perkara. Mungkin pelajar ini dirasuk jin!
Tetapi apabila plan ketenteraannya saya berikan kepada isteri, beliau
dengan segera memberikan komen, "abang, rasanya budak ni ada masalah
bipolar disorder. Lengkap belaka"
Saya terdiam.
Hasil pembacaan buku dengan panduan isteri, serta bacaan di internet,
saya dapat memahami serba sedikit tentang masalah Bipolar Disorder
ini.

PERINGKAT HIPERMANIA
Semasa seseorang itu berada di tahap mania, dia itu sering menunjukkan
simptom-simptom berikut:
Bertenaga secara berlebihan, aktif dan menolak rehat
Mempunyai perasaan yang begitu tinggi bahawa dirinya itu 'bagus'
Komunikasinya sungguh merimaskan dan mengganggu
Berfikir dengan laju dan ekstrim, bercakap dengan begitu pantas dan
melompat dari satu idea ke satu idea. Ideanya boleh difahami tetapi
tidak berkait di antara satu sama lain
Mudah terganggu dan sukar menumpukan perhatian
Tidak tidur kecuali sedikit atau tiada langsung
Mempunyai kepercayaan berlebihan secara tidak realistik terhadap kuasa
dan keupayaan seseorang
Lemah dalam membuat keputusan
Berbelanja secara yang sangat boros
Kelakuan melampau yang berpanjangan lebih dari kadar yang biasa
Keinginan seks yang meningkat
Boleh terjebak ke dalam penggunaan dadah terutamanya kokain, juga
minuman beralkohol serta pil tidur
Provokatif, intrusif dan sikap yang amat agresif
Sangat menafikan yang dirinya itu di pihak yang salah
Sudah beberapa orang yang jangkakan dirinya mengalami Bipolar Disorder
ini menunjukkan hampir kesemua simptom itu. Tentu sahaja jika orang
yang mengalami masalah ini merupakan suami, atau majikan kita, mereka
akan sungguh menyeksa kehidupan kita.

MENCETUS KEHANCURAN SOSIAL
Inilah yang membimbangkan saya. Tanpa pengetahuan tentang masalah
psikiatri ini, saya tidak tahu berapa banyak rumah tangga yang hancur,
berapa banyak pekerja yang diberhentikan majikan, dan berapa banyak
syarikat yang musnah, apabila suami di dalam rumah tangga, atau
majikan di dalam sebuah syarikat, mempamerkan sikap yang sangat
agresif.
Dirinya sahaja yang betul, tidak habis-habis berleter dan mengungkit
seribu satu perkara, malah bercakap lucah atau melakukan perbuatan
lucah hingga ke tahap hospital di Ireland akan membekalkan pil
pencegah kehamilan kepada pesakit Bipolar Disorder ini kerana beliau
dengan mudah sahaja boleh melakukan seks dengan sesiapa sahaja yang
ditemuinya.
Siapa yang tahan dengan manusia sebegini?
Sanggupkah isteri berdepan dengan perubahan mendadak seorang suami?
Tidakkah menderita seorang pekerja apabila majikannya mempraktikkan
kesemua simptom di atas?
Andai segalanya difikirkan sebagai perubahan sikap, ia tentu
menimbulkan 1001 kesulitan. Tetapi jika kesemua simptom itu ada,
berkemungkinan suami anda, atau majikan anda mengalami gangguan emosi
yang teruk, dan mereka wajar mendapatkan rawatan.

PERINGKAT DEPRESI (KEMURUNGAN)
Oleh kerana namanya Bipolar Disorder, pesakit juga akan terjun dari
keaktifan yang amat tinggi itu kepada kemurungan yang menjatuhkan
segala-galanya. Maka apabila beliau berada di situasi depresi, pesakit
tersebut akan menunjukkan simptom-simptom berikut:
Kesedihan yang berpanjangan, gelisah dan perasaan yang kosong
Rasa putus harapan dan pesimis terhadap segala-galanya
Merasa bersalah, tidak berguna, dan tidak mungkin dapat dibantu
Hilang minat kepada aktiviti-aktiviti yang disukainya sebelum ini,
termasuk terhadap seks
Kehilangan tenaga, lesu yang teruk dan beransur lemah
Sukar memberi tumpuan, sukar mengingati sesuatu dan sulit membuat keputusan
Tidak mahu berehat atau sentiasa rasa terganggu apabila cuba berehat
Tidur yang terlalu banyak, atau langsung tidak boleh tidur
Hilang selera makan, kehilangan berat badan
Sakit yang berpanjangan (kronik) terhadap tubuh badan yang bukan
disebabkan oleh sakit fizikal atau kecederaan
Banyak berfikir tentang kematian, malah terfikir untuk membunuh diri,
dan cuba melakukannya

KEPERLUAN PENDAKWAH DAN KAUNSELOR
Saya merasakan, bagi seorang pendakwah apatah lagi mereka yang sering
didatangi oleh mereka yang cuba mendapatkan nasihat tentang krisis
rumah tangga dan kerja, amat perlu untuk menambah pengetahuan tentang
hal ini. Dengan itu kita akan terhindar daripada memberikan
nasihat-nasihat yang memburukkan lagi keadaan.
Bayangkan jika seorang pekerja mengadu kepada anda tentang kelakuan
majikannya yang sungguh menyakitkan, tanpa ada peduli kepada persoalan
gangguan emosi dan masalah psikiatri ini, dengan mudah anda akan
memberikan nasihat supaya pekerja itu mengambil tindakan
undang-undang, berhenti kerja atau terus melawan atas alasan
mempertahankan hak dan maruah diri.
Segala perbuatan pekerja itu yang membalas kelakuan agresif majikannya
itu akan hanya menyebabkan masalah Bipolar Disorder beliau menjadi
semakin teruk. Dan kita patut menjangkakan kesudahan yang terburuk,
jika segala-galanya dibiarkan.
Begitu juga dengan isteri atau suami yang berdepan dengan hal ini.
Sedikit sebanyak pengetahuan seperti ini akan membolehkan kita
bertenang, tidak 'ambil hati' dan boleh menghulurkan bantuan malah
terus bersangka baik, biar pun dengan cara yang sungguh pelik!
"Bantulah saudaramu, sama ada dia itu zalim, atau dizalimi" (Al-Hadith)
Si zalim itu mungkin pesakit Bipolar Disorder.
ABU SAIF @ www.saifulislam. com
56000 Kuala Lumpur